Your Cart

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI ANDA

Saya pasti bila membeli sebuah kekili anda pasti rambang mata dan sukar untuk membuat keputusan dengan bajet yang terhad. Kalau membeli pasti kita mahu menang memakai dan kadang kala kita tersalah pilih kerana kurang faham akan satu-satu fungsi sebuah kekili. Artikel ini saya sediakan bagi mengelakkan anda tersalah beli jika selama ini anda seorang yang beranggapan bahawa lagi tinggi nombor spesifikasi sesebuah kekili lagi hebat lah ia. Ya kali ini kita lihat fungsi ratio gear pada sebuah kekili, apakah maknanya bila ditulis 5.1:1 atau 7.2:1 pada sebuah kekili. Baca artikel ini untuk memahami ratio gear kekili anda

Memahami Ratio Gear Kekili : Maksud Bacaan Ratio Gear

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI

Sebuah kekili memerlukan gear untuk menggerakkan mekanisme penyusun tali sesebuah kekili, berapa cepat ia menyusun tali salah satunya bergantung kepata ratio gear kekili tersebut. Sebagai contoh jika sebuah model mempunyai ratio gear 5.1:1 ini bermaksud setiap satu putaran penuh yang anda lakukan menggunakan pengayuhnya, kekili tersebut akan menyusun tali membaluti gelendung sebanyak 5.1 kali. Ini bermaksud lagi tinggi bilangan ratio gear kekili tersebut, lagi pantaslah ia menyusun tali dan ini juga bergantung kepada faktor saiz gelendung kekili anda kerana kekili yang bersaiz besar yang digunakan untuk teknik popping ikan-ikan raksasa bacaan rationya nampak rendah seperti 5.0:1 akan tetapi ianya tetap pantas menyusun tali kerana saiznya yang besar.

Memahami Ratio Gear Kekili : Lagi Tinggi Lagi Bagus?

Jadi, adakah lagi tinggi bacaan ratio gear pada kekili lagi bagus? Tidak sama sekali. Semua fungsi dan spesifikasi pada alat memancing ada kaitan dengan kegunaannya pada cara dan teknik kita memancing bagi mendapatkan ikan sasaran. Jadi mulai hari ini jadilah pemancing yang tenang dan jangan terlalu menggelabah dengan spesifikasi tinggi pada apa saja fungi alat pancing, termasuklah max drag dan sebagainya. Melainkan jika teknik pemancingan anda memerlukannya, anda tidak perlu kisah pun kepada satu-satu spesifikasi.

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI

Umpamakan seperti mengayuh basikal yang mempunyai gear yang rendah dan tinggi, jika anda inginkan kuasa bagi mendaki anda memerlukan gear yang rendah kerana gear yang rendah mempunya lebih tork untuk membawa beban. Berlainan pula bila anda di jalan yang rata dan meluncur laju, anda hanya perlukan kuasa yang sedikit untuk mengayuh jadi anda gunakan gear tinggi untuk mengekalkan kelajuan yang anda mahu.

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI

Jadi maksudnya di sini, jika pemancingan anda perlukan lebih kuasa untuk melawan rintangan air atau spesis ikan yang berkuasa tinggi dan berat pilihlah ratio gear yang lebih rendah, jika pemancingan anda mementingkan kelajuan menyusun tali dan kurang rintangan pilihlah ratio yang lebih tinggi.

Dengan  ini saya kongsikan sedikit maklumat tentang ratio gear dan kegunaannya mengikut tahap kelajuan

Ratio Gear Berkelajuan Tinggi

Ratio gear berkelajuan tinggi ialah antara 7.1:1 ke atas, Devil Craft Texla mempunyai ratio gear sehingga 9.4:1. Ratio berkelajuan tinggi sesuai digunakan untuk pemancingan gewang permukaan airUmpan tiruan jenis ini menarik perhatian ikan-ikan pemangsa yang gemar memburu di atas permukaan air antaranya haruan, toman, belida, sebarau dan Peacock Bass bagi spesis air tawar, manakala spesis air masin seperti alu-alu, siakap, siakap merah, GT dan lain lain. buzzbaits,  poppers,  gewang terapung, jump frogs dan lain-lain mempunyai keperluan tertentu akan tetapi boleh dikatakan hampir semua jenis umpan tiruan ini memerlukan ratio gear yang pantas.

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI
Shariff dengan Toman ketika trip rumah bot di Tasik Kenyir

Salah satu keperluan ratio gear yang pantas untuk umpan permukaan air adalah sebab kebanyakan dari umpan tiruan jenis ini ringan dan berongga jadi sebaik sahaja anda melontar, tali kendur akan banyak terhasil sebaik sahaja umpan terapung diatas air jadi kekili yang mempunyai ratio gear yang pantas dapat memudahkan anda mengurangkan kendur dengan cepat dan bersedia untuk strike.

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI
Spesis peacock bass dan sebarau pada masa-masa tertentu akan menyerang permukaan air secara berjemaah, bila anda nampak fenomena ini lontarkan gewang anda ke kawasan ini supaya mereka menyerang

Kebaikan mempunyai ratio yang tinggi adalah dalam mengurangkan masa retrieve gewang yang sudah dilempar jauh, sebagai contoh jika anda perasan di permukaan air kawasan lain sedang menggelegak dengan hentaman ikan ataupun frenzy anda mempunai masa yang singkat untuk mengayuh dan melemparkan gewang anda ke kawasan itu.

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI

Selain itu umpan tiruan seperti buzzbaits memerlukan ratio gear yang tinggi supaya ia dapat bergerak naik ke zon strike dengan pantas iaitu pada permukaan air. Antara kekili yang mempunyai ratio gear yang berkelajuan tinggi boleh dilihat seperti di bawah, sesuaikan saiz kekili dengan spesis sasaran anda.

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI
Bullzen Iguana Velocity mempunyai ratio gear 8.1:1

Ratio Gear Berkelajuan Sederhana

Kekili yang mempunyai ratio gear yang sederhana laju memberikan anda serba sedikit kebebasan untuk menggunakan semua teknik yang ada. Akan tetapi jangan salah faham, ianya sekadar boleh digunakan sebagai kekili all rounder tapi bukanlah pilihan terbaik. Bukanlah yang terbaik untuk teknik permukaan air dan bukanlah yang terbaik untuk teknik selaman dalam.

Ratio berkelajuan sederhana bagus untuk gewang selaman cetek seperti OFMER 4D SHALLOW SHAD dan OFMER TADPOLE 28F di mana ia hanya menyelam di bawah permukaan air bila kekili dikayuh dan terapung bila berhenti, jika menggunakan ratio yang terlalu laju mungkin akan mengganggu aksi umpan tiruan anda dan juga boleh merosakkan gear kerana rintangan air yang ada untuk penggunaan jangka panjang. Jika teknik yang anda gunakan memerlukan sedikit tork dan juga sedikit laju pilihlah ratio gear sederhana laju di antara 6.0:1-7.0:1 contoh kekili yang berkelajuan sederhana adalah seperti di bawah.

Shino Atlantic mempunyai ratio gear 6.3:1

Kekili kategori ini juga sesuai digunakan untuk teknik jigging di atas bot kerana di laut kita akan menjatuhkan jig ke bawah dan mengulanginya berkali-kali, oleh itu kekili yang tidak telalu perlahan sesuai digunakan supaya kita tidak penat menggulung tali. Pada pendapat saya sendiri ratio terlalu tinggi tidak sesuai digunakan untuk jigging seperti 7.1:1 ke atas. ini kerana reel jenis ini tidak sesuai untuk digunakan untuk tugas-tugas berat kerana gear akan rosak. Bukan kerana kualiti kekili yang bermasalah akan tetapi lebih kepada gagal untuk menyesuaikan spesifikasi dengan teknik pemancingan. Ini kerap kali saya lihat berlaku kepada pemilik G-Tech  Advance power dan High Power XG (7.2:1)  bila mereka memaksa kekili tersebut untuk tugas-tugas berat seperti teknik bottom di atas bot dan jigging hanya kerana kekili ini mempunyai max drag 20kg. Kena ingat, lasak atau tak sebuah kekili bergantung kepada kualiti dan bahan binaan gear bukan max drag.

Berikut adalah contoh-contoh kekili dalam kategori sederhana laju.

Ratio Gear Berkelajuan Rendah

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI
VIKING V 5035 yang tidak dapat kami restock lagi

Ini adalah kategori kekili yang mempunya tork yang tinggi dan mampu melakukan tugas-tugas berat seperti pemancingan dasar, trolling dan menaikkan ikan-ikan raksasa seperti tuna. Ia lambat menyusun tali tapi amat lasak dan teguh. Tidak hairanlah mesin-mesin lejen seperti jenama Viking yang mempunyai ratio gear yang rendah disebut sebut sampai sekarang walaupun kayuhannya tidak indah akan tetapi ianya sangat lasak, boleh digunakan untuk menyembat ikan lombong berbelas kilo beratnya dengan mata tiga tanpa ada masalah.

RAPALA DEEP DOWN RATTLIN FAT RAP

Ratio gear yang rendah juga sesuai digunakan dengan umpan tiruan. Umpan tiruan selaman dalam seperti RAPALA DEEP DOWN RATTLIN FAT RAPOFMER FAT DEEP dan EUPRO K2 DEEP LINNER  memerlukan tork bagi membawa beban lebih yang terhasil dari rintangan air dan juga bagi mengekalkan aksi umpan jenis selaman ini.

Jika anda menggunakan kekili yang mempunyai ratio berkelajuan tinggi untuk umpan selaman dalam, kekili anda akan ada masalah bergegar semasa kayuhan dan ini akan membuatkan anda kurang selesa sepanjang pemancingan. Sebenarnya ia bukan hanya masalah kurang selesa kerana lambat laun kekili anda akan mengalami masalah gear kerana beban yang dihadapi akibat dari penyesuaian teknik yang tidak sesuai.

MEMAHAMI RATIO GEAR KEKILI

Jika anda lebih gemar memancing menggunakan teknik dasar, ratio yang rendah lebih sesuai digunakan lagi-lagi jika anda menggunakan umpan dan batu ladung yang besar jika memancing dasar di laut. Kekili yang mempunyai ratio gear yang rendah mampu untuk tugas-tugas kasar seperti ini. Jika anda kaki melayan kolam mekong saiz-saiz 30kg-40kg juga dinasihatkan menggunakan kekili yang ratio gearnya rendah supaya anda lebih selesa menaikkan ikan. Bayangkan sebuah kenderaan 4×4 yang tidak laju akan tetapi berguna pada persekitaran yang mencabar yang memerlukan kuasa untuk pendakian dan melalui selut dan bonggol-bonggol yang ada di hutan.

Apa-apa pun sebelum membeli kekili sila fikirkan akan teknik yang kita selalu gunakan ataupun spesis sasaran supaya anda tidak tersalah dalam pelaburan membeli kekili. Tidak ada satu kekili yang terbaik untuk semua teknik, mahal atau tidak itu hal lain asalkan anda beli menang memakai. Harap artikel ini dapat membantu anda memahami ratio kekili anda.

Leave a Reply