Your Cart

10 PERKARA YANG ANDA PERLU TAHU SEBELUM MEMBELI KEKILI

Anda pasti selalu mendengar pelbagai jenama dan model yang disebut oleh rakan-rakan pemancing dan juga para pengguna media sosial di grup-grup pemancingan. Sehinggakan ramai yang hanya membeli berdasarkan kepopularan sesebuah model atau jenama. Setiap model yang popular pastilah ada sebab, akan tetapi ianya bukan bermaksud sesebuah model itu yang paling sesuai untuk anda. Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memilih sebuah kekili

1. Bajet


Bagi saya hal yang paling utama difikirkan adalah berapa bajet yang sanggup anda laburkan untuk sesebuah alat memancing. Sebab itu kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan jenama sesuatu barangan kerana kita sebagai pengguna perlu ambil tahu adakah sesuatu alat yang kita beli itu berbaloi dan sesuai untuk kegunaan pemancingan kita. Kerana jika difikirkan jenama, sudah tentu jenama yang sudah lama bertapak dan mempunyai reputasi yang bagus dan premium seperti Daiwa, Shimano, Penn, Abu Garcia dan sebagainya mempunyai harga yang agak tinggi di pasaran. Oleh itu lihat baki bank akaun anda dan kenal pasti harga kekili yang sesuai dengan bajet anda. Jika jenama premium bukan sesuatu yang anda sanggup laburkan, pilihlah dari pelbagai lagi pengeluar yang boleh memberikan alternatif bagi anda. Terdapat pelbagai jenama mampu milik keluaran tempatan dan luar negara yang berkualiti seperti Team Seahawk, Bossna, Anyfish, Bullzen dan sebagainya.

2. Kawasan Pemancingan

Kawasan pemancingan juga adalah salah satu faktor penting untuk diambil kira sebelum membeli sesebuah kekili. Bukan sekadar memilih samada kekili tersebut adalah dinilai khas sebagai kekili air masin atau air tawar, sebaiknya fikirkan juga apa ciri-ciri yang diperlukan supaya ianya sesuai diguanakan bila digunakan di kawasan pemancingam anda nanti. Antaranya, adakah anda memerlulan tali yang banyak bagi kawasan tersebut? Jika anda memancing di tengah laut sudah tentu mempunyai tali yang cukup adalah salah satu ciri-ciri yang penting yang anda perlukan memandangkan kedalaman air dan juga banyak spesis-spesis ikan yang sukar dinaikkan, jangan sampai anda mebelai ikan sehingga kehabisan tali di spool.

3. Spesifikasi Kekili

Setiap kekili mempunyai spesifikasi disertakan oleh pengeluar, yang paling asas biasanya kita boleh lihat di tepi kotak atau di badan kekili itu sendiri spesifikasi itu tertulis. Antaranya daya seret Maksimum (Max Drag), Nisbah Gear, kapasiti tali dan berat kekili. Maklumat-maklumat lain juga selalunya disertakan oleh pengeluar pada promosi kekili keluaran mereka seperti bahan yang digunakan, samada ianya sesuai untuk air masin dan lain-lain.

4. Teknik Pancingan

Setiap teknik pancingan sedikit sebanyak memerlukan ciri-ciri kekili yang berbeza. Sila fikirkan keperluan itu mengikut teknik pemancingan yang anda lakukan, adakah anda menggunakan teknik dasar dan apungan umpan sahaja? atau anda menggunakan teknik jigging? Casting? Popping? setiap teknik ada kekili yang sesuai supaya kurang bersusah payah dalam pemancingan anda.

5. Spesis Sasaran

Spesis sasaran anda juga memainkan peranan penting dalam memilih kekili. Kategori spesis sasaran secara mudah boleh dibahagikan kepada dua, samada spesis sasaran anda ikan yang bersifat pemangsa atau tidak. Spesis pemangsa ini adalah katogeri ikan yang memburu ikan-ikan atau haiwan lain, jadi ianya sesuai bagi peminat teknik lemparan umpan tiruan atau casting. Oleh kerana terdapat banyak jenis umpan tiruan, anda perlu ambil tahu tentang spesis sasaran anda dari segi umpan tiruan apa yang digemari oleh spesis tersebut dan setiap umpan tiruan mempunyai aksi dan saiz tertentu. Di sini  lah pentingnya pemilihan kekili yang sesuai, ada jenis umpan tiruan seperti crankbait yang memerlukan kekili yang mempunyai kapasiti tali yang banyak dan nisbah gear yang tidak laju seperti 5.4:1 supaya aksi crankbait yang sesuai dapat digayakan.

6. Alat Ganti

Dalam menggunakan apa-apa peralatan pastinya ada wear & tear, kekili juga tidak terkecuali dalam hal ini. Jadi amatlah berpatutan jika anda selidik tentang alat ganti bagi kekili yang ingin anda beli. Pemilihan model yang terlalu rare juga tidak membantu jika kekili anda tidak mempunyai alat ganti dan akhirnya jadi bahan pameran sahaja di rumah. Melainkan anda tidak kisah membeli kekili baru setiap kali ada masalah alat ganti, cari lah sesebuah reel yang mempunyai after market support yang bagus.

7. Kesesuaian Kekili Dengan Rod

Pilihlah kekili yang sesuai dengan rod supaya selesa digunakan dan yang paling penting supaya tidak berlaku kerosakan kepada rod anda. Kekili yang terlalu besar atau kecil boleh membuatkan set pancing anda tidak seimbang dan tidak selesa digunakan dan akhirnya memberi kesan kepada lontaran umpan dan dalam menaikkan ikan. Jika anda memakai kekili Spinning jangan pula dipadankan dengan rod overhead seperti multiplier atau baitcaster, ini kerana tulang belakang rod bagi dua jenis rod ini berlainan tempatnya dan boleh merosakkan rod jika melawan ikan dengan pasangan kekili dan rod yang salah. Rod juga boleh rosak jika spesifikasi kekili anda tidak sesuai, ini kerana rod juga mempunya spesifikasi tertentu seperti daya ketahanan mengangkut, daya heret dan lain-lain. Sebagai contoh jika anda menggunakan daya heret kekili pada 10kg tetapi rod mempunyai daya ketahan sehingga 8lb sahaja, bila dapat ikan yang mempunyai daya tarikan melebihi 8lb maka patahlah rod anda.

8. Fungsi Istimewa

Fungsi istemewa seperti penggera clicker yang berbunyi kuat atau suis anti reverse adalah benda yang bagus diteliti jika anda perlukan fungsi-fungsi seperti ini, fungsi-fungsi tambahan ini boleh memudahkan lagi pemancingan anda jika anda perlukannya bagi jenis-jenis pemancingan tertentu. Ada juga fungsi istimewa seperti baitrunner keluaran Shimano di mana anda hanya perlu menekan suis bagi bertukar kepada drag belakang yang longgar dan bila ikan membawa lari umpan penggera berbunyi dan anda hanya perlu mengayuh kekili anda untuk menukar kepada drag depan yang sudah siap diketatkan dan terus bertarung dengan ikan.

9. Bahan Binaan

Bahan binaan bagus diteliti supaya ianya sesuai dengan pemancingan anda. Ada kekili yang dibuat sepenuhnya dari besi, walaupun ianya lebih kukuh akan tetapi ianya akan jadi lebih berat berbanding aluminium atau grafit. Sesuai juga pemilihan bahan binaan sebuah kekili dengan pemancingan anda. Jika anda kaki Casting tentunya anda mahukan kekili yang ringan kerana anda bukan buat satu lontaran sahaja mungkin berpuluh dan beratus lontaran dalam satu sesi. Bahan binaan juga perlu dipastikan supaya anda tahu cara-cara penjagaan kekili tersebut supaya ia tidak mudah rosak.

10. Kosmetik

Yang terakhir sekali adalah rupa dan gaya kekili yang ingin anda miliki. Walaupun ianya bukan satu faktor penting dalam menaikkan ikan, tetapi ramai pemancing sangat mementingkan rupa kekiili mereka untuk mendapatkan satu personal touch supaya lebih bergaya dari yang lain. Bukan sahaja warna, malah banyak juga ciri-ciri kosmetik yang boleh diperhatikan pada reel-reel dipasaran seperti tombol pemutar yang dibuat dari kayu atau EVA aluminium. Ada juga bahagian-bahagian reel yang boleh ditempah khas supaya ianya benar-benar lain dari yang lain.

Itulah sedikit sebanyak perkara yang boleh anda kaji sebelum anda keluarkan modal untuk membeli kekili. Sekarang amat mudah untuk mengkaji spesifikasi sesebuah reel kerana semua maklumat sudah tersedia dan hanya perlu lakukan banyak carian dan bacaan secara atas talian. Jangan sekadar datang ke kedai dan percaya bulat-bulat apa yang dikatakan oleh penjual, buat kajian barulah tanya penjual barulah tahu setakat mana betulnya jawapan mereka dan mereka pun tidak penat bercerita tapi sebenarnya anda tak faham. Akhir kata dari saya, kalau tanya kepada penjual tentang sesebuah kekili tolong lah sebut jenama model dan saiz, contoh : Ryobi AP power 5000 bukan Ryobi 5000. kalau sebut Ryobi 5000 sahaja penat pulak penjual memikir anda sebenarnya nak cari model mana satu.

2 comments

  1. Assalamualaikum, maaf nak Tanya, adakah brand devil craft ni setaraf shimano, daiwa, abu atau seangkatan dengan ya?

    1. Ahmad Helmi Shaharuddin

      waalaikumussalam, barang barang dari brand seperti daiwa, shimano atau abu garcia ni ada tier atau peringkat sesuatu model contoh paling kurang kualiti, kualiti biasa, pertengahan dan kualiti tinggi atau high end yang beribu ribu rm harganya. boleh kata yang devilcraft ini setaraf dengan kualiti biasa jenama-jenama tersebut tapi jika dibandingkan dengan harga dan ciri-ciri yang diberikan, devilcraft lebih jimat dari jenama-jenama terkenal. devilcraft adalah jenama keluaran Malaysia.

Leave a Reply